KUALA LUMPUR: Pusat beli-belah 118 Mall akan dibuka pada 1 November 2028, menandakan satu lembaran baharu di Presint Merdeka 118.
Dalam satu kenyataan ringkas di laman media sosial 118 Mall, pusat beli-belah itu bakal membawa nafas baharu ke tengah-tengah Kuala Lumpur dengan menawarkan lebih banyak pilihan untuk membeli-belah, menjamu selera dan meluangkan masa bersama insan tersayang.
"Sama ada meneroka pengalaman baharu, bertemu rakan-rakan atau mencari lokasi kegemaran baharu, pelbagai pengalaman menarik menanti anda di Presint Merdeka 118," katanya.
118 Mall menyasarkan sehingga 22 juta pengunjung pada tahun pertama operasi, disokong ekosistem bersepadu Presint Merdeka 118 yang menggabungkan elemen beli-belah, hospitaliti, warisan, pelancongan dan budaya.









