Klang: Seramai 35 warga asing ditahan dalam serbuan sebuah pusat hiburan karaoke (KTV) yang disyaki menawarkan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat beli-belah di sini, malam tadi.

Serbuan Jabatan Imigresen (JIM) Selangor kira-kira jam 11.10 malam itu dijalankan hasil maklumat dan risikan selama dua minggu.

Wartawan yang mengikut operasi itu tidak menyangka di sebalik suasana pusat beli-belah yang kelihatan lengang, terdapat sebuah pusat karaoke mewah di tingkat tujuh bangunan berkenaan yang menawarkan bilik dengan harga mencecah ribuan ringgit.

Pemeriksaan turut menemukan sebuah bilik rehat di laluan belakang premis yang menempatkan wanita warga asing dipercayai sementara menunggu tempahan pelanggan.