KUALA LUMPUR: Seramai 44 usahawan tempatan di Sarawak mencatatkan peningkatan purata hasil perniagaan sebanyak 20 peratus selepas menamatkan Program Pemecutan eKelas Usahawan anjuran Maxis Bhd yang memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran kecerdasan buatan (AI) dan pemasaran digital.
Kohort keempat program latihan intensif selama tiga bulan itu membabitkan usahawan dari kawasan bandar dan luar bandar di seluruh Sarawak yang menjalankan perniagaan dalam pelbagai sektor termasuk makanan, kecantikan dan fesyen, pembinaan serta pertanian.
Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Azizul Abdul Rahman, dalam kenyataannya berkata perkembangan positif program itu membuktikan kepentingan melengkapkan usahawan dengan kemahiran digital bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan dalam persekitaran ekonomi yang semakin berteraskan teknologi.








