KUALA TERENGGANU: Lelaki warga emas maut digilis bas ketika melintas jalan berhampiran laluan masuk Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Jalan Masjid Abidin, di sini, tengah hari tadi.

Mat Ghani Mamat, 77, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dalam kemalangan kira-kira jam 12.28 tengah hari itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata kejadian berlaku ketika bas berkenaan sedang membelok ke kanan untuk memasuki laluan terminal.

Beliau berkata, mangsa tiba-tiba melintas dari kiri ke kanan jalan dan akibat jarak terlalu dekat, pemandu bas berusia 66 tahun itu tidak sempat mengelak.