Johor Bahru: Reruai The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) di Karnival Jom Heboh (KJH) Johor Bahru 2026 menjadi tumpuan pengunjung apabila membawakan aktiviti menarik termasuk pengedaran 600 naskhah akhbar secara percuma setiap hari.
Inisiatif ini bukan sahaja mendekatkan pembaca dengan produk media cetak itu, malah menyemarakkan lagi suasana karnival menerusi program interaktif yang mendapat sokongan rakan penaja strategik seperti Nestle, Nibou dan Yakult.
Ketua Jabatan Penjenamaan dan Harta Intelek NSTP, Tengku Kaifimirza Tuan Cherit @ Tengku Hamzah berkata, penyertaan aktif penaja-penaja ini membuktikan komitmen berterusan dalam menyokong program berteraskan komuniti yang dianjurkan pihak NSTP.








