JOHOR BAHRU: Dialog Group Bhd merancang pelaburan tambahan sebanyak RM3 bilion antara tahun 2027 dan 2030 bagi menyokong pembangunan berterusan Terminal Laut Dalam Pengerang (PDT).

Menurut Dialog, pelaburan yang dirancang itu akan dipacu oleh permintaan pelanggan, daya maju komersial, serta penyelarasan strategik dengan ekosistem Pengerang yang lebih luas bagi mengukuhkan lagi kedudukan terminal itu sebagai hab penyimpanan tenaga dan logistik serantau utama.

"Dialog sedang giat libat urus dengan pelanggan yang berpotensi serta pemain industri bagi memulakan fasa pertumbuhan seterusnya untuk hab tenaga dan perindustrian strategik itu," maklum syarikat itu kepada Bernama.

Menurut Dialog, perkembangan terkini akan dimaklumkan sebaik saja perjanjian dimuktamadkan dan memperoleh kelulusan yang diperlukan.