KUALA LUMPUR: Pengalaman antarabangsa menerusi program Talent Development Scheme (TDS) kendalian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memperkukuh perspektif Abdul Musawir Abdul Gany, dalam bidang pembangunan bakat, pendidikan jurulatih dan aspek teknikal bola sepak.

Bekas pemain Piala Presiden dan skuad belia Johor FA itu terpilih sebagai jurulatih dari Malaysia untuk menyertai program FIFA Talent Coach, dengan penugasan bersama Persatuan Bolasepak Malawi di Luwinga Inclusive Academy, Mzuzu.

Pengalaman terbabit memperluas pemahamannya tentang kepentingan sistem pembangunan pemain yang terancang, sokongan teknikal yang berkesan dan pendidikan jurulatih yang berterusan.

Bagi Musawir, pembangunan bola sepak tidak hanya bergantung pada bakat pemain tetapi turut memerlukan perancangan jangka panjang, jurulatih berkualiti dan struktur pembangunan yang mampu menyediakan laluan jelas daripada peringkat akar umbi hingga ke tahap elit.