KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd dan AME Elite Consortium Bhd (AME Elite) menjalin kerjasama strategik menerusi usaha sama 50:50 bagi membangunkan taman perindustrian bernilai pembangunan kasar (GDV) RM4 bilion di Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri, Johor.

Pembangunan membabitkan kawasan seluas 162.68 hektar itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa, dengan fasa pertama dijangka bermula menjelang akhir 2027.

Bagi merealisasikan projek berkenaan, syarikat usaha sama yang dinamakan Gerbang Synergy Sdn Bhd akan memperoleh tanah pegangan bebas seluas 162.68 heltar daripada Nusajaya Rise Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh UEM Sunrise, pada harga RM972.1 juta.

Gerbang Synergy ditubuhkan menerusi UEM Land Bhd dan AME Development Sdn Bhd, masing-masing anak syarikat UEM Sunrise dan AME Elite.