Jakarta: Kebakaran hutan dan tanah kini dilaporkan berlaku di lima wilayah Indonesia, menjejaskan kawasan seluas 1,410 hektar, manakala banjir melanda ribuan isi rumah di Sumatera Utara, menyebabkan operasi tindak balas bencana diteruskan di seluruh negara.
Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Berton Panjaitan berkata, Papua Selatan mencatatkan kawasan terluas yang terbabit dalam operasi pemadaman kebakaran, iaitu 502 hektar berdasarkan data setakat 7 pagi waktu tempatan pada Jumaat.
Ia diikuti Sulawesi Tengah (295 hektar), Sulawesi Tenggara (257 hektar), Maluku (182 hektar) dan Kalimantan Timur (174 hektar).
"Corak kebakaran telah banyak berubah. Sebelum ini, kebakaran dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Sumatera dan Kalimantan, namun hari ini kita menyaksikan kebakaran di Kalimantan Timur, Sulawesi Tengah dan Sulawesi Tenggara, Maluku serta Papua Selatan," katanya dalam taklimat video pada Jumaat.









