KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) terus memperkukuh kedudukannya dalam industri penjagaan kesihatan swasta serantau menerusi pengembangan kepakaran pembedahan berteknologi tinggi, khususnya pembedahan jantung invasif minimum berbantukan robot.

Kumpulan penjagaan kesihatan itu mencatat rekod baharu di Asia Tenggara apabila Damansara Specialist Hospital 2 (DSH2) berjaya melaksanakan 35 prosedur pembedahan jantung invasif minimum berbantukan robot (MICS) dalam tempoh 90 hari.

Pencapaian berkenaan sekali gus mencerminkan kemajuan pelaburan KPJ Healthcare dalam teknologi perubatan moden, selain memperkukuh daya saing kumpulan itu dalam segmen perkhidmatan penjagaan kesihatan khusus yang memerlukan kepakaran tinggi.