Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira memasang tekad untuk mencatat masa menghampiri rekod peribadi terbaik (PB) apabila membuat penampilan sulung pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) Disember ini.

Jelasnya, persiapan untuk membuat penampilan sulung di AUG tidak begitu panjang, namun jurulatihnya, Khairul Azman Adenan sudah merangka beberapa perancangan bagi memastikan momentum serta prestasinya berada pada tahap optimum.

"Untuk AUG, saya ada lebih kurang dua bulan bagi mempersiapkan diri bertanding di kejohanan itu. Sejujurnya, program latihan yang diatur oleh jurulatih Azman untuk saya berjalan seperti dirancang.

"Jadi, untuk sasaran saya pada permulaan musim 2027 serta penampilan sulung di AUG, saya teringin mencatat masa menghampiri PB atau sekurang-kurangnya dalam lingkungan kemampuan saya," katanya.