KUALA LUMPUR: Pelajar dan tenaga pengajar yang menganut agama Hindu di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) seluruh negara diberi kemudahan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau hibrid selama sembilan hari, sempena Deepavali.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui kenyataan hari ini berkata kemudahan itu berkuat kuasa mulai 5 hingga 13 November ini, membabitkan semua universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.

KPT berkata, inisiatif bertujuan memberi ruang kepada pelajar dan tenaga pengajar yang meraikan perayaan itu pada 8 November ini untuk pulang ke kampung halaman serta meluangkan masa bersama keluarga.

Bagaimanapun, pelaksanaannya tertakluk kesesuaian dan keperluan program akademik di institusi masing-masing bagi memastikan kelancaran proses PdP serta aktiviti akademik tidak terjejas.