TASEK GELUGOR - Seramai 1,552 pelajar di seluruh negara menerima manfaat Biasiswa Anak eKasih Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (BAeK PTPTN) melibatkan peruntukan berjumlah RM24.76 juta sejak ia diperkenalkan pada 1 Januari hingga 30 September lalu.Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pengenalan inisiatif BAeK PTPTN membolehkan pelajar merealisasikan impian pendidikan tinggi masing-masing melalui sokongan kewangan yang menyeluruh, sekali gus dorongan untuk mencapai kecemerlangan akademik dan memulakan kerjaya tanpa hutang.Menurut beliau, PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited memastikan pelajar yang layak tidak tercicir daripada melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) hanya disebabkan faktor kekangan kewangan.Jelasnya, pendekatan tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memperluaskan akses pendidikan tinggi yang inklusif serta melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing."Hari ini (Rabu), sesi penyerahan BAeK PTPTN diadakan di Tasek Gelugor, Pulau Pinang melibatkan dua pelajar Politeknik Seberang Perai (PSP)."Saya menyeru kepada semua pelajar yang menerima tawaran BAeK PTPTN, tetapi masih belum mengembalikan dokumen tawaran supaya segera melengkapkan dan menyerahkannya secara fizikal di mana-mana kaunter cawangan PTPTN terdekat dalam tempoh 60 hari dari tarikh surat tawaran."Langkah ini penting bagi memastikan urusan pembayaran biasiswa yang dilaksanakan pada setiap semester berjalan lancar, sekali gus membantu pelajar meneruskan pengajian dengan lebih teratur," katanya ketika penyerahan BAeK PTPTN kepada dua pelajar di sini pada Rabu.Hadir sama, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Pengurus Besar Kanan PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman.BAeK PTPTN yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Belanjawan 2026 merupakan pendekatan keadilan sosial dalam konteks pendidikan.Melalui pelaksanaannya, pinjaman PTPTN diberikan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih, mengikuti pengajian peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa di IPTA serta diluluskan pinjaman PTPTN mulai 1 Januari 2026.BAeK PTPTN diperoleh berdasarkan permohonan pinjaman PTPTN yang dibuat melalui aplikasi web myPTPTN.Pelajar akan diluluskan pinjaman PTPTN terlebih dahulu bagi memastikan kelangsungan pengajian pelajar dan ditawarkan BAeK PTPTN sekiranya memenuhi syarat kelayakan.Sebarang notis atau pemakluman dihantar melalui e-mel dan mesej notifikasi di aplikasi myPTPTN.Inisiatif BAeK PTPTN membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan dalam memastikan latar belakang sosioekonomi bukan penghalang kepada peluang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.Layari portal rasmi www.ptptn.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan BAeK PTPTN.