PETALING JAYA – Seramai 1,552 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara menerima manfaat Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN) dengan peruntukan berjumlah RM24.76 juta setakat 30 September lalu.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, inisiatif yang diperkenalkan pada 1 Januari lalu itu bertujuan membantu pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar melanjutkan pengajian tanpa dibebani hutang pinjaman pendidikan.

Beliau berkata, BAeK PTPTN yang diumumkan Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2026 itu menawarkan pembiayaan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar berdaftar dalam pangkalan data eKasih yang mengikuti pengajian diploma atau ijazah sarjana muda secara sepenuh masa di IPTA.