KUALA PILAH – Seorang tukang cat mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tujuh pertuduhan termasuk memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan yang mencederakan empat individu pada 22 Oktober lalu.

Tertuduh, Yap Kian Wai, 39, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret, Marlissa Mohd Fahmy.

Bagi empat pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu kereta jenis Honda City di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine sehingga menyebabkan kecederaan kepada empat individu dalam kejadian di Jalan Seremban-Kuala Pilah pada 22 Oktober lalu.

Kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu berlaku di beberapa lokasi sepanjang laluan berkenaan, termasuk berhampiran Taman Sri Terachi dan selekoh Kedai Santan selepas simpang Kedai Ain, di daerah ini.