SHAH ALAM: Dana Endowmen Universiti Teknologi MARA (UiTM) sehingga kini merekodkan kutipan terkumpul RM115 juta, sejak ia ditubuhkan pada 2019.

Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, berkata daripada jumlah itu, lebih RM22.67 juta disalurkan bagi menyokong pendidikan, penyelidikan dan kebajikan pelajar.

Katanya, dana itu dimanfaatkan antaranya untuk pembiayaan biasiswa, program mobiliti pelajar, pengajaran dan pembelajaran serta Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM).

Katanya, sehingga kini, 173 pelajar peringkat ijazah sarjana muda dan pascasiswazah termasuk sarjana serta doktor falsafah (PhD) menerima manfaat biasiswa, dengan 70 daripada mereka berjaya menamatkan pengajian.