Kuala Lumpur : Penyanyi Indonesia, Rizky Febian kini lebih memilih gaya hidup sihat dan itu perubahan ketara dalam rutin hariannya sejak bergelar suami dan ayah.
Rizky, 28, ketika ditemui pada sidang media Malam Rawan Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur berkata, isterinya, Mahalini dan anaknya, Zairee Selina Quinlyn Kareema Febian menjadi pendorong utama untuknya.
"Banyak perkara yang mengubah hidup saya, salah satunya dari segi kesihatan. Saya mula bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat kerana mahu mempunyai lebih banyak masa bersama isteri dan anak.
"Perkara itulah yang menjadi pendorong untuk saya berdiet. Saya mahu sentiasa sihat untuk membahagiakan mereka berdua. Saya bersyukur kerana Allah memberikan rezeki yang melimpah, isteri dan anak yang cantik," katanya kepada Harian Metro.






