SONG: Setelah sekian lama berdepan cabaran banjir, warga Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Temalat di sini kini mempunyai bangunan baharu yang lebih selamat dan selesa, sekali gus membawa harapan baharu kepada 94 muridnya untuk menimba ilmu dan mengejar cita-cita.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pembangunan semula sekolah itu bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal lebih baik, malah memberi ketenangan kepada ibu bapa yang mengharapkan persekitaran pembelajaran kondusif untuk anak-anak mereka.

"Bagi ibu bapa, melihat anak-anak belajar dalam suasana yang selamat dan selesa cukup besar maknanya.

"Harapan inilah yang mahu kita tunaikan buat warga Nanga Temalat, agar anak-anak mereka mendapat permulaan yang baik untuk membina masa depan," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.