JOHOR BAHRU - Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dakwaan membakar rumah kediaman yang diduduki warga Rohingya di Kulai, dua minggu lalu.Tertuduh, Yap Eze Hong, 31; Amirul Eizlan Musrinan, 28; Muhammad Khairul Abd Bahrin, 27, dan Chan Jie Mig, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaini Che Wan Ibrahim.Mereka didakwa melakukan khianat dengan api membakar sebuah rumah di Lorong 5, Kulai Besar, Kulai padan jam 1.30 pagi pada 13 Oktober lalu.Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga dikenakan denda.Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Latiff memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM25,000 bagi setiap tertuduh."Tertuduh pertama dan keempat memberikan kerjasama semasa tangkapan, manakala tertuduh kedua dan ketiga tidak memberi kerjasama sehingga memaksa anggota polis menahan mereka secara paksaan," katanya.Namun, jumlah jaminan yang dicadangkan itu dibantah semua tertuduh dan merayu jaminan dikurangkan atas alasan mereka tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung kepada gaji harian, selain menanggung keluarga.Tertuduh pertama diwakili G. K. Sritharan, manakala tertuduh ketiga diwakili Siti Rashidah Abd. Aziz dan Chon Sin Lim mewakili tertuduh keempat.Mahkamah membenarkan Tze Hong dan Jie Ming diikat jamin sebanyak RM8,000, manakala Muhamad Amirul serta Muhammad Khairul pula dibenarkan jaminan sebanyak RM10,000.Mahkamah turut menetapkan tiga syarat tambahan kepada semua tertuduh iaitu lapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi.Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 30 November ini.Pada Selasa, polis dilaporkan menahan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes balingan bom molotov di kawasan penempatan warga Rohingya di Kulai Besar, Kulai pada 13 Oktober lalu, menjadikan keseluruhan 15 individu ditahan setakat ini.Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kedua-dua suspek tempatan berusia antara 27 hingga 28 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sekitar Johor Bahru pada 20 Oktober lalu.Bagaimanapun, hanya empat dituduh di mahkamah dan selebihnya dibebaskan dengan bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.