Tasek Gelugor: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang membantu memindahkan seorang lelaki berusia 26 tahun dengan berat kira-kira 300 kilogram ke Hospital Seberang Jaya, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor dikerahkan ke lokasi kejadian di Kampung Pokok Tampang.

"Lelaki itu dalam keadaan sedar tetapi lemah ketika anggota kami tiba. Mereka membantu mengangkatnya ke dalam ambulans kendalian syarikat swasta untuk dibawa ke Hospital Seberang Jaya," katanya dalam satu kenyataan.

Pasukan bomba turut menggerakkan sebuah jentera bomba dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.