SEREMBAN: Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes kemalangan maut membabitkan seorang anggota bomba di Kilometer 2.6, Jalan Pantai, Port Dickson pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Ahmad Afiq Mohd Adnan berkata tiga lelaki berkenaan terdiri pemandu Toyota Vios yang berusia 32 tahun dan dua rakannya masing-masing berusia 31 dan 32 tahun, dipercayai bersubahat menyembunyikan serta menanggalkan nombor pendaftaran kereta itu di Puchong, Selangor.
Beliau berkata dalam kejadian pada 8.05 pagi itu, motosikal Honda ADV160 ditunggang mangsa berusia 46 tahun dan kereta berkenaan dipercayai bergerak dari arah Telok Kemang menghala Port Dickson.
"Setibanya di lokasi kejadian, kereta itu dipercayai membuat pusingan U menyebabkan penunggang motosikal yang berada di belakang cuba mengelak sebelum melanggar bahagian sisi kanan kereta berkenaan dan terjatuh di lorong bertentangan.










