JAKARTA: Lebih 4,300 hektar hutan dan tanah yang terjejas akibat kebakaran di enam wilayah di pulau Kalimantan dan Sumatera, Indonesia masih dalam operasi pemadaman dengan pihak berkuasa mengerahkan ribuan personel serta puluhan pesawat bagi mengawal kebakaran.

Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Berton Panjaitan berkata setakat Ahad, operasi pemadaman masih diteruskan di kawasan seluas 3,392 hektar di tiga wilayah di Kalimantan dan 990 hektar lagi di tiga wilayah di Sumatera.

"Pelbagai strategi tindak balas terus dilaksanakan oleh kerajaan pusat dan daerah dengan bantuan sukarelawan, termasuk operasi pengubahsuaian cuaca menggunakan ais kering," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.