KUALA LUMPUR: Seorang lelaki Malaysia berusia 24 tahun ditahan selepas pihak berkuasa Singapura menemukan lebih dua kilogram (kg) dadah, termasuk heroin dan methamphetamine disembunyikan dalam motosikalnya di Pusat Pemeriksaan Tuas, Rabu lalu.
Dadah terdiri kira-kira 1,924 gram heroin dan 164 gram methamphetamine atau syabu dianggarkan bernilai lebih S$222,000 (kira-kira RM730,000).
Dalam satu hantaran di Facebook, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) berkata, pegawainya mengarahkan motosikal dengan nombor pendaftaran Malaysia itu untuk menjalani pemeriksaan lebih menyeluruh.
Menurutnya, ketika pemeriksaan, pegawai menemukan lima bungkusan disyaki mengandungi dadah dalam sebuah beg yang disembunyikan di bawah baju hujan dalam kotak simpanan motosikal itu.










