MELAKA: Kemelut berkait tindakan MCA yang bertegas tidak mengiktiraf calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya negeri (PRN) Melaka yang didakwa diumumkan tanpa persetujuan kepimpinan tertinggi akan diselesaikan menerusi rundingan, selaras pendekatan lazim gabungan berkenaan.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata tiada apa perlu dibimbangkan kepimpinan parti dalam gabungan itu, termasuk calon dan penyokong mereka, berhubung isu berkenaan.
"Jangan bimbang. Dalam semangat BN, apabila kita ada masalah, kita cari jalan penyelesaian," katanya selepas merasmikan Program KPT- Siswa UTeM Prihatin@Melaka 2026, di sini, malam ini.
Sebelum ini, MCA dilapor bertegas tidak akan mengiktiraf mana-mana calon parti itu yang diumumkan BN bagi PRN Melaka tanpa persetujuan kepimpinan tertinggi parti.









