Bagan Datuk: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi jaminan bahawa rundingan berhubung senarai calon MCA bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih boleh diteruskan susulan ketidakpuasan hati parti itu terhadap pengumuman calon BN.

Beliau mengesahkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, terkejut apabila tidak dimaklumkan lebih awal mengenai pengumuman calon pada majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka, malam tadi.

"Benar, beliau pun terkejut kerana tidak dimaklumkan oleh urus setia mengenai pengumuman calon itu. Bagaimanapun, masalah ini akan kita selesaikan.

"Kita akan adakan perbincangan sebelum 31 Oktober," katanya ketika ditemui pemberita pada program Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah Daerah Bagan Datuk, di sini, hari ini.