PETALING JAYA: Seramai 72 rakyat Malaysia ditahan dalam tempoh 10 bulan tahun ini di luar negara kerana menjadi keldai dadah.

Penahanan itu membawa kepada rampasan sebanyak 1,704 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai RM81.76 juta. Thailand dan Indonesia mencatatkan angka tertinggi iaitu masing-masing dengan 19 dan 16 tangkapan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Hussein Omar Khan berkata, kesemua rampasan dan tangkapan itu dilaksanakan menerusi 48 kes berasingan hasil kerjasama perisikan antarabangsa.

Menurutnya, dadah jenis syabu atau methamphetamine mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,445.16 kilogram (kg) bersamaan 84.8 peratus daripada keseluruhan rampasan.