SERIAN – Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam tandas sebuah sekolah di Jalan Baki Lama, di sini, semalam.Mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.30 petang.Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian kemudian tiba di lokasi pada jam 4.43 petang bagi menjalankan operasi menyelamat.Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Rosnani Malong itu membabitkan lapan anggota dengan bantuan jentera FRT serta kenderaan EMRS.Menurut JBPM Sarawak, pemeriksaan di lokasi mendapati anggota bomba perlu menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu tandas bagi membolehkan pasukan penyelamat masuk ke ruang berkenaan.Mangsa, Mohd Faizal Muhamad Isa, 46, ditemukan terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.