SHAH ALAM - Seorang ibu tunggal dipenjara 11 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis kerana memiliki wang RM347,800 yang diperoleh secara curang, sembilan tahun lalu.Rosnani Shaikh Mahmud, 56, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan yang dibacakan di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa serta-merta.Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa ada dalam milikannya wang berjumlah RM347,800 milik Lim Chwee Hoon, 61, di dua akaun CIMB Bank milik sendiri.Ia diperolehi secara curang dan tertuduh tidak dapat memberikan keterangan yang munasabah cara dia memperolehinya di CIMB Bank PJ State, Petaling Jaya, di sini antara 24 hingga 31 Oktober 2017.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau boleh didenda tidak lebih dari RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Mengikut fakta kes, mangsa berkenalan dengan seorang lelaki warga Korea, menggunakan nama Kenny Wang menerusi laman sosial Facebook sebelum berhubung melalui aplikasi WhatsApp.Lelaki itu kemudian mendakwa telah menghantar sebuah parcel mengandungi wang tunai AS$100,000, iPad, beg tangan dan cincin kepada mangsa.Mangsa selepas itu menerima panggilan daripada seorang ejen bernama Aiman yang memaklumkan parcel berkenaan menghadapi masalah dalam proses penghantaran dan meminta bayaran bagi melancarkan penghantarannya.Walaupun mangsa memasukkan wang menerusi transaksi ke akaun berbeza, dia tidak menerima parcel yang dijanjikan sebelum membuat laporan polis kerana mengesyaki dirinya ditipu.Siasatan mendapati wang RM347,800 milik mangsa dimasukkan ke akaun bank tertuduh.Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman ringan kerana berstatus ibu tunggal, menghidap diabetes dan darah tinggi.Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azizah Jaafar berkata, kepentingan awam perlu diutamakan berbanding rayuan tertuduh.Lebih-lebih lagi beliau berkata, tertuduh tidak mengemukakan sebarang dokumen bagi menyokong dakwaan berkenaan."Wang berkenaan tidak dikembalikan kepada mangsa, termasuk sebahagian daripada jumlah kerugian yang dialami."Jika anda buat jenayah, bayar dengan masa, bukan wang walau satu sen," katanya.