Hulu Selangor: "Anak beritahu, suami asyik keluar masuk rumah seperti mencari sesuatu terutamanya di dapur tempat dia bersarapan.
"Malah, suami juga termenung dalam kereta selepas menurunkan anak di sekolah. Dia seolah-olah tahu waktunya akan tiba," kata Salmiah Mengun.
Salmiah, 51, adalah isteri kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Bernam, Harman Harun, 53, yang meninggal dunia dalam nahas dua kenderaan di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, berhampiran sebuah stesen minyak di Kalumpang, di sini, semalam.
Penolong Kanan Satu Sekolah Rendah Agama (SRA) Kerling itu berkata, sebelum kejadian, dia sedang bersiap untuk menghadiri program Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah di SUK Selangor.










