Kuala Lumpur: Pemain kelayakan negara, Liyana Durisic muncul pemain tempatan terbaik pada pusingan pertama Kejohanan Golf Maybank LPGA 2026 apabila menamatkan saingan di kedudukan keenam.

Liyana merekodkan lima di bawah par 67 di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC), hari ini berkongsi kedudukan itu bersama wakil Thailand, Arpichaya Yubol, pemain Korea Selatan, Choi Hye-Jin dan Hwang Youmin, Robyn Choi dari Australia serta Julia Lopez Ramirez dari Sepanyol.

Aksi konsisten tanpa sebarang bogey menjadi antara kunci kejayaan Liyana mencatatkan permulaan positif dalam kejohanan berprestij itu, sekali gus meletakkan dirinya dalam kelompok pemain yang mampu mencabar kedudukan teratas.

Menurutnya, kualiti pukulan serta kebijaksanaan memastikan bola berada di kawasan yang sesuai banyak membantunya mengelakkan kesilapan sepanjang pusingan.