SISTEM pertahanan terus diperkukuhkan dengan Sistem Pemintas Pesawat Tanpa Pemandu (C-UAS) atau sistem antidron yang bakal diterima Malaysia daripada Jepun dan ditempatkan di beberapa lokasi strategik termasuk Sepanggar dan Labuan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mendedahkan sistem dibekalkan menerusi program Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) Jepun itu bertujuan memperkukuh keupayaan negara menghadapi ancaman serangan dron.

Menerusi komitmen itu, Jepun akan membekalkan sebuah sistem C-UAS bernilai 1.65 bilion yen (RM43 juta) kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi program OSA bagi tahun fiskal 2026.

Perjanjian ditandatangani Mohamed Khaled bersama Menteri Luar Jepun, Toshimitsu Motegi di Tokyo pada 20 Oktober lalu ketika lawatan kerja beliau ke negara itu.