Kuala Lumpur: Saingan Liga Super musim ini mula menghadirkan bahang persaingan cukup mendebarkan apabila Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC (SFC) terus megah mempertahankan status kebal tanpa sebarang kekalahan.

Harimau Selatan kini selesa memimpin carta dengan rekod bersih 18 mata penuh selepas enam perlawanan, namun bayangan Gergasi Merah mengekor rapat di tangga kedua menerusi 15 mata maksimum daripada lima aksi sambil memegang 'senjata rahsia' satu perlawanan dalam tangan.

Perkembangan ini menghidupkan kembali harapan penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus yang mahu melihat saingan merebut kejuaraan musim ini berlarutan dengan lebih sengit hingga ke garis penamat.