MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan kutipan hasil sebanyak RM70.15 bilion hingga 30 September lalu, meningkat 23.06 peratus atau RM13.145 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Amran Ahmad, berkata pencapaian itu mencerminkan sumbangan berterusan jabatan berkenaan dalam memperkukuh kedudukan fiskal dan menyokong pembangunan negara.
"Seiring dengan perkembangan perdagangan antarabangsa dan peningkatan ancaman rentas sempadan, peranan JKDM turut berkembang daripada pentadbiran hasil kepada institusi kastam moden yang memainkan peranan strategik di pintu masuk utama negara.
"JKDM melaksanakan tiga teras utama iaitu kutipan hasil, permudahan perdagangan dan penguatkuasaan undang-undang bagi memperkukuh ekonomi, memudah cara perdagangan yang sah serta melindungi keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat," katanya.










