REMBAU: Seorang lelaki yang juga pesara Kementerian Kesihatan (KKM) berusia 74 tahun meninggal dunia selepas terperangkap dalam Perodua Myvi yang dihanyutkan banjir di Kampung Kundur Hulu, di sini, jam 9 malam ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau dengan bantuan BBP Teluk Kemang dikejarkan ke lokasi kejadian di parit bersebelahan Sungai Kampung Kundur Hulu sebaik menerima panggilan jam 9.20 malam.

"Mangsa dikatakan dibawa arus ketika melalui jalan raya berkenaan.

"Pasukan operasi bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Teluk Kemang kemudiannya membantu mengeluarkan mangsa, namun dia disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan," katanya.