BERMULA esok dan selama dua minggu berikutnya, pertarungan rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 akan bermula sejurus semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan mempunyai senarai calonnya.
Selama dua minggu itu juga, calon dan parti diwakili mereka perlu menggunakan segala strategi bagi memikat hati 687,697 pengundi, terbahagi kepada 63 peratus pemilih Melayu, Cina (29 peratus), India (6 peratus) dan lain-lain (2 peratus).
Melalui pemerhatian awal, terdapat petunjuk Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mendapat penerimaan kuat pengundi Melayu, mengambil kira prestasi pentadbiran kerajaan negeri, keberkesanan penyampaian perkhidmatan dan imej kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.








