KUALA LUMPUR: Isu kelemahan tadbir urus atau pelanggaran undang-undang dalam Lembaga Tabung Haji (TH) perlu ditangani melalui proses sewajarnya berdasarkan bukti dan peruntukan perundangan sedia ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kerana kerajaan menghormati prinsip kedaulatan undang-undang serta kebebasan badan kehakiman.

"Justeru kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk membuat keputusan berdasarkan fakta, keterangan dan peruntukan undang-undang berkuat kuasa.

"Dalam hubungan ini, kerajaan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip dalam mana-mana kes jenayah, proses dan pendakwaan hendaklah dilaksanakan secara bebas tanpa campur tangan," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di portal Parlimen hari ini.