BATU PAHAT - Tiga individu tempatan terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi membanteras kegiatan disyaki pengedaran dan penyeludupan dadah di Batu Pahat dan Muar, Selasa lalu.Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA, Superintendan Shohaiami Ismail berkata, operasi kira-kira jam 8.35 malam dijalankan Cawangan Risik Batalion 6 PGA, Muar.Menurutnya, operasi di dua lokasi berasingan itu turut membawa kepada rampasan lima bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 5,224.40 gram."Selain itu, dua buah kereta iaitu Toyota Vios dan Honda Civic FD yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan turut dirampas."Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM434,400," katanya dalam kenyataan pada JumaatBeliau berkata, operasi dijalankan di kawasan tempat letak kenderaan tidak berbumbung bersebelahan sebuah pasaraya di Batu Pahat serta Kampung Sarang Buaya Laut, Muar."Kesemua individu yang ditahan bersama barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan dan siasatan lanjut."Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 serta peruntukan berkaitan Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,"ujarnya.Shohaiami berkata, kejayaan operasi itu adalah hasil usaha berterusan pihak polis, khususnya PGA, dalam membanteras kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan kegiatan pengedaran dadah atau aktiviti menyalahi undang-undang bagi membantu usaha penguatkuasaan dan pencegahan jenayah.