Kuala Lumpur : Pemilihan tajuk filem Baga: Esok Untuk Siapa tiada kaitan secara langsung dengan karya popular arahan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin, sebaliknya ia terhasil secara spontan selepas pengarahnya, Ariff Zulkarnain, diminta menukar tajuk asal oleh penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam.

Menurut Ariff, pada awalnya karya yang diterajui Amir Ahnaf dan Amirah Razak itu hanya dinamakan Baga.

"Sebenarnya, ada kisah lucu di sebalik pemilihan tajuk itu. Judul asal filem ini hanyalah Baga. Orang pertama dari luar produksi yang menonton filem ini ialah Datuk Yusof Haslam.

"Selepas menonton, beliau memanggil saya ke pejabat dan memberitahu bahawa beliau bersetuju untuk menjadi pengedar filem tersebut. Tetapi beliau mempunyai satu permintaan, iaitu saya perlu menukar tajuk filem," katanya.