Kuala Lumpur: Sebanyak 80,412 anjing liar ditangkap dalam 24,195 operasi yang dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Ia adalah susulan puluhan ribu aduan kacau ganggu yang diterima daripada orang awam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, tindakan penguatkuasaan berskala besar itu dilaksanakan selepas kementeriannya merekodkan sebanyak 45,804 aduan berkaitan haiwan terbiar berkenaan dalam tempoh yang sama.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan haiwan yang ditangkap itu, sebanyak 22,228 ekor diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), dituntut semula oleh pemilik masing-masing atau diambil sebagai haiwan peliharaan menerusi program anjing angkat.