SHAH ALAM - Kerjasama politik atau tahaluf siyasi di Pulau Pinang tidak bermakna umat Islam menggadaikan akidah dan prinsip Islam, sebaliknya menjadi ruang untuk memastikan agenda pembangunan Islam terus dilaksanakan.Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, tahaluf siyasi membawa maksud persefahaman, perjanjian dan kesepakatan, khususnya dalam kerjasama politik.Menurut beliau, kerjasama antara orang Islam dan bukan Islam dibenarkan selagi tidak mengorbankan prinsip agama."Lakum dinukum waliya din. Kita boleh bekerjasama dalam perkara yang baik, tetapi akidah dan prinsip Islam tetap dipertahankan," katanya.Beliau berkata demikian dalam program Interviu x Podcast Sinar Harian yang dihoskan oleh Haizir Othman di Kompleks Karangkraf, di sini.Mohd Sukki berkata, pentadbiran Islam di Pulau Pinang turut berasaskan pendekatan Maqasid Syariah yang menekankan maslahah dan keadilan, bukan sekadar melihat sesuatu perkara dari sudut halal dan haram.Tegasnya, lima perkara asas yang perlu dipelihara ialah agama, nyawa, akal, keturunan dan harta."Syariat itu untuk maslahah manusia, dunia dan akhirat. Jadi apabila kita mentadbir, kita perlu melihat bagaimana syariat itu memberi manfaat kepada masyarakat dan mengelakkan kemudaratan," katanya.Menurutnya, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melaksanakan pendekatan berkenaan menerusi Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 yang mengandungi lima teras dan 70 pelan tindakan.Lima teras berkenaan ialah pembangunan sosioekonomi, pendidikan, keluarga, anak muda serta dakwah dan tarbiyah.Beliau berkata, pembangunan sosioekonomi digerakkan antaranya melalui zakat dan wakaf bagi membantu golongan memerlukan serta memperkukuh pembangunan umat Islam.Menurutnya, antara usaha wakaf ialah Wakaf Setee Aisah yang berasal daripada tanah sawah yang diwakafkan sejak 1901 dan manfaatnya masih diteruskan sehingga kini."Zakat dan wakaf ini bukan hanya untuk bantuan semata-mata, tetapi juga boleh menjadi instrumen pembangunan umat Islam," katanya.Dalam bidang pendidikan pula, katanya, bantuan zakat dan biasiswa disalurkan kepada pelajar sekolah serta institusi pengajian tinggi, selain pemberian tablet kepada sekolah.Beliau berkata, MAINPP turut mempunyai Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB), manakala Penang Islamic Digital Library (PIEL) ditempatkan di Kuliah Syariah, Universiti Al-Azhar, Mesir.Mohd Sukki berkata, pembangunan keluarga, anak muda serta dakwah dan tarbiyah turut diperkasakan menerusi pelbagai program bagi meningkatkan kefahaman agama dan penglibatan masyarakat.Beliau turut mengingatkan bahawa pembangunan Islam di Pulau Pinang perlu dilihat dalam konteks sejarah panjang negeri itu."Antara sejarah berkenaan ialah kewujudan Sheikh Abdullah Fahim sebagai Mufti Pulau Pinang pertama pada 1951, selain perkembangan pondok, sekolah agama dan institusi pengajian Islam."Pulau Pinang juga mempunyai kaitan dengan perjalanan jemaah haji dari Nusantara, termasuk kawasan Lebuh Ache