Kuala Lumpur: Gerakan Ahmadiyyah atau Qadiani yang diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad di India pada 1889, terus menjadi polemik berikutan dakyahnya secara terang-terangan merobek prinsip asas akidah Islam, iaitu penamat rantaian kenabian melalui pengutusan Nabi Muhammad SAW.
Walaupun ajaran ini difatwakan terkeluar daripada Islam oleh institusi global seperti Rabitah al-Alam al-Islami dan Majma' al-Fiqh al-Islami pada pertengahan 1970-an dan 1980-an, kelompangan bidang kuasa perundangan syariah di Malaysia kadang-kala dilihat memberi ruang kepada kumpulan ini untuk bergerak bebas. Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, gerakan itu berselindung di sebalik hujah yang dimanipulasi bagi menghalalkan kedudukan pengasas mereka sebagai nabi baharu.









