KLUANG - Majlis Perbandaran Kluang (MPK) mengesahkan beberapa skrin paparan LED di sekitar bandar ini digodam penceroboh siber sehingga memaparkan gambar dan video lucah pada Khamis.Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pihak MPK sudah mengambil tindakan segera dengan menutup semua skrin LED terbabit bagi mengelakkan kandungan tidak senonoh itu terus dipaparkan kepada orang ramai."Untuk makluman, sistem LED MPK digodam dan pihak MPK sudah mengambil tindakan segera dengan menutup semua skrin LED," katanya ketika dihubungi.Sementara itu, MPK dalam kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius dan mengutuk sekeras-kerasnya kejadian berkenaan.Menurut kenyataan itu, laporan polis akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan, selain bekerjasama dengan pihak vendor untuk mengenal pasti punca kejadian."Sehubungan itu, siasatan lanjut sedang dilaksanakan dengan kerjasama pihak vendor bagi mengenal pasti punca kejadian, selain mengambil langkah pemulihan dan memperkukuh tahap keselamatan sistem."MPK memohon maaf atas segala kesulitan dan kebimbangan yang timbul dalam kalangan masyarakat Kluang susulan insiden ini," menurut kenyataan itu.MPK turut memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan serta memburukkan nama baik dan imej pihak berkuasa tempatan itu.Terdahulu, kejadian berkenaan tular di media sosial dan kumpulan WhatsApp selepas beberapa skrin LED milik MPK didapati memaparkan kandungan tidak senonoh.Antara lokasi yang dilaporkan terjejas ialah Dataran Tasik Kluang, Taman Intan di bandar Kluang serta kawasan sekitar laluan menghala ke Kahang.Kejadian itu turut disaksikan beberapa penduduk yang berada di sekitar bandar dan kawasan tasik berkenaan sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.Rata-rata pengguna media sosial menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan terhadap individu yang bertanggungjawab.