PONTIAN - Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu diterjemahkan menerusi gerak kerja bersama di lapangan dan bukan sekadar persefahaman di atas kertas.Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penyelarasan jentera kedua-dua gabungan itu penting bagi memastikan sasaran memenangi lebih 21 kerusi pada PRN berkenaan dapat dicapai.Menurutnya, keyakinan terhadap kerjasama BN-PN semakin meningkat selepas isu membabitkan MCA serta pembahagian kerusi bersama Pas diselesaikan sebelum hari penamaan calon.Katanya, semua ahli MKT juga sudah diarahkan menjaga bahagian mengikut penugasan ditetapkan, termasuk wakil dari Johor yang perlu memberi tumpuan kepada kawasan di bawah tanggungjawab negeri itu."Kita juga berharap jentera BN dan PN bergerak bersama. Dengan lain perkataan, kerjasama ini bukan hanya persefahaman atas kertas, tetapi benar-benar dilaksanakan di lapangan."Kita tidak mahu persefahaman hanya atas kertas, sebaliknya kita mahu melihat kerjasama itu berlaku secara nyata," katanya selepas melawat projek pembinaan kemudahan hub ekonomi belia daerah di Pusat Perdagangan Pontian di sini, pada Jumaat.Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya memberitahu satu pertemuan bersama pimpinan PN dijadualkan berlangsung pada petang Sabtu, bagi memulakan penyelarasan gerak kerja lebih awal.Katanya, kerjasama itu turut melibatkan sokongan silang antara jentera kedua-dua gabungan, termasuk di kawasan yang tidak ditandingi calon daripada parti masing-masing."Sebagai contoh, jentera Pas di Jasin diharap hadir bersama ketika penamaan calon BN sekiranya parti itu tidak bertanding di kawasan berkenaan, manakala jentera BN pula diminta membantu calon PN dan Pas di kawasan yang tidak ditandingi BN," katanya.Sebagai rekod, PRN Melaka ke-16 menyaksikan sebanyak 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan selepas DUN Melaka dibubarkan pada 23 September lalu.Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari pengundian.Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan PN dua kerusi. Bagi PRN kali ini, BN diperuntukkan 21 kerusi untuk ditandingi manakala Pas dan rakan gabungannya bertanding di tujuh kerusi hasil rundingan pembahagian kerusi yang dimuktamadkan.