PETALING JAYA : Semua calon, parti politik, penyokong serta mana-mana pihak yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 diingatkan supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya.
Peringatan itu selaras dengan peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5].
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan memaklumkan, SPRM Melaka akan membuka bilik gerakan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan kegiatan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang PRN Melaka Ke-16.
Katanya, bilik gerakan berkenaan akan beroperasi selama 24 jam bermula esok hingga 14 November 2026, bertempat di Pejabat SPRM Melaka, Jalan Alai Perdana 16, Taman Alai Perdana, 75460 Melaka.









