KUANTAN - Tiga rakan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata secara berkumpulan di sebuah kedai emas pada Ogos lalu.Tertuduh, Mohd Noor Mat Ail, 45, Muhammad Farid Rasid, 30 dan Che Rosfaizul Aswadi Che Hamid, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Fathin Nadhirah Kasim dan Khamisah Ismail.Tertuduh, Mohd Noor dan Muhammad Farid diwakili peguam, Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri manakala Che Rosfaizul Aswadi tiada peguam.Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan bersenjata secara berkumpulan di kedai emas itu kira-kira jam 2 petang, 21 Ogos lalu.Bagi kesalahan itu tertuduh masing-masing bekerja sebagai peniaga buah, buruh dan jurukimpal dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan membantah jaminan ke atas semua tertuduh dengan mengambil kira seksyen kesalahan yang berat dan tidak boleh dijamin.Fathin Nadhirah berkata, bantahan jaminan itu juga atas kepentingan awam, kebimbangan saksi dan risiko tertuduh melarikan diri."Kejadian rompakan berlaku pada Ogos manakala tangkapan dilakukan pada Oktober dan ketika ditangkap tertuduh melawan hingga berlaku pergelutan," katanya.Bagaimanapun, Nik Muammer Hurrie memohon pertimbangan mahkamah agar anak guamnya diberikan jaminan.Che Rosfaizul Aswadi pula merayu agar dia dibenarkan diikat jamin dan bercadang untuk mendapatkan khidmat peguam.Mengambil kira hujah semua pihak, Harmi Thamri tidak membenarkan jaminan ke atas semua tertuduh.Mahkamah menetapkan 4 Disember depan sebagai tarikh sebutan serahan dokumen terhadap Mohd Noor dan Muhammad Farid.Che Rosfaizul Aswadi juga ditetapkan tarikh sebutan sama dan diminta melantik peguam sebelum tarikh tersebut.