GUA MUSANG – Dua remaja lelaki berusia 16 dan 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan dalam operasi bersepadu di sekitar bandar ini pada Khamis.Dalam operasi bermula jam 11 malam itu, sebanyak enam motosikal turut disita manakala keseluruhan 87 saman dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 46 motosikal dan 55 individu.Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, saman berkenaan membabitkan 56 saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 31 lagi oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)."Antara kesalahan dikesan termasuk tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, ketiadaan cermin sisi serta pengubahsuaian ekzos dan struktur motosikal."Kesalahan lain turut melibatkan kegagalan mempamerkan lesen percubaan, selain kesalahan berkaitan lesen kenderaan motor dan insurans," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Beliau berkata, dua lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Enam motosikal yang disita pula membabitkan tiga sitaan oleh polis dan tiga lagi oleh JPJ mengikut Seksyen 64(1) akta sama.Dalam operasi itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah turut menjalankan ujian saringan awal air kencing."Terhadap lima individu dan kesemuanya didapati negatif dadah," katanya.Operasi berkenaan melibatkan kekuatan 44 pegawai dan anggota daripada pelbagai bahagian serta agensi dengan kerjasama JPJ cawangan Gua Musang.