SKUAD Harimau Malaya Bawah 15 Tahun (B-15) menamatkan kempen Festival dan Piala Dunia B-15 FIFA 2026 di kedudukan ke-56 daripada 189 pasukan selepas tewas kepada Lubnan dalam aksi penentuan tempat ke-55 dan ke-56 pada Jumaat.Dalam perlawanan di Kompleks Pertandingan Hovsan itu, skuad kendalian P Maniam gagal mengekang asakan Lubnan apabila dibolosi dua gol pada separuh masa pertama, masing-masing pada minit ke-16 dan ke-35 untuk menyaksikan Malaysia tewas 0-2.Keputusan itu menyaksikan Malaysia gagal menutup penyertaan sulung dalam kejohanan berkenaan dengan kemenangan selepas turut terlepas peluang memburu kedudukan lebih baik dalam saingan Tier B.Sebelum bertemu Lubnan, Malaysia tewas 4-5 kepada Qatar menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam aksi separuh akhir penentuan tempat ke-53 hingga ke-56.Harimau Malaya B-15 sebelum itu turut tewas 1-3 kepada China pada suku akhir Tier B, namun bangkit mencatat kemenangan 4-2 ke atas Jamaica dalam pusingan 16 bagi penentuan kedudukan ke-49 hingga ke-64.Walaupun gagal melangkah lebih jauh, Malaysia tetap mencatat pencapaian tersendiri apabila muncul satu-satunya wakil Asia Tenggara yang berjaya menempatkan diri dalam Tier B.Skuad B-15 negara menamatkan saingan Kumpulan H di tempat kedua dengan 10 mata hasil tiga kemenangan, satu seri dan satu kekalahan untuk melayakkan diri ke kelompok 32 terbaik Tier B.Kejohanan julung kali dianjurkan FIFA itu berlangsung di Baku, Azerbaijan, membabitkan 189 persatuan anggota FIFA dengan format permainan lapan sebelah.