KUALA LUMPUR: Malaysia melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 daripada 70 negara ekonomi dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR), didorong peningkatan kecekapan kerajaan menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata peningkatan itu turut menyaksikan kedudukan Malaysia bagi faktor Kecekapan Kerajaan naik ke tangga ke-14 berbanding ke-25 sebelum ini, manakala indikator Birokrasi melonjak ke tangga keenam dunia.

"Lonjakan dalam tempoh dua tahun ini mengembalikan keyakinan pelabur terhadap negara. Ini dicerminkan menerusi jumlah pelaburan diluluskan bagi separuh pertama 2026 yang mencecah RM218.5 bilion, meningkat 11.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu," katanya di sini, hari ini.