KUALA LUMPUR: Pemain golf profesional negara, Kelly Tan bangga melihat perkembangan pesat golf wanita Malaysia sejak mula menyertai Jelajah LPGA pada 2014, terutama apabila semakin ramai pemain tempatan berjaya menembusi pentas profesional.
Kelly berkata, landskap golf wanita negara kini jauh berbeza berbanding ketika beliau mula mencipta nama apabila hanya segelintir pemain Malaysia beraksi di peringkat profesional.
"Golf Malaysia berkembang dengan sangat pesat, terutama dalam kategori wanita. Ketika saya menyertai program Sime Darby LPGA, hanya kira-kira 20 pemain wanita menyertainya.
"Daripada jumlah itu, mungkin lima atau enam pemain beraksi di Asia, manakala beberapa lagi bersaing dalam Jelajah Eropah (LET).








