KUALA LUMPUR: Sebanyak 69 peratus majikan di Malaysia berdepan kesukaran mendapatkan graduan yang memiliki kemahiran bersesuaian dengan keperluan industri, terutama ketika penggunaan kecerdasan buatan (AI) semakin mengubah landskap pekerjaan, demikian menurut syarikat pendidikan dan pembelajaran global, Pearson.

Naib Presiden Pembelajaran dan Kemahiran Perusahaan Asia Pasifik Pearson, Craig McFarlane, berkata cabaran utama bukan sekadar kekurangan kemahiran menggunakan AI, sebaliknya keupayaan graduan mengaplikasikan teknologi itu dalam tugasan sebenar di tempat kerja.

Beliau berkata, bersandarkan laporan AI Readiness: Building the Bridge from Higher Education to Work in Malaysia oleh Pearson dan Amazon Web Services (AWS), sebanyak 45 peratus majikan mengenal pasti kekurangan pengalaman praktikal atau keupayaan mengaplikasikan kemahiran sebagai antara cabaran utama dalam mendapatkan graduan yang memenuhi keperluan industri.